Tuesday, July 30, 2013

Sajak kepada sesiapa yang berhajat menjadi komando...



"DATANGMU TAK KU UNDANG"

Datangmu tak ku undang,
Kenapa kau ke mari, kenapa kau datang,
Apa kau tak takut mati, tak takut kecundang,
Biar tubuhmu sasa semacam seladang, 
Sehebat mana semangatmu pasti kan hilang.

Kau mahu mencuba apa yang terhidang, 
Baik saudaraku, ku buka gelanggang, 
Kan kau menyesali harimu yang malang,
Kenapa kau datang, itu sudahku bilang, 
Jalanmu kengkang, matamu buntang, 
Semata kau mahu menjadi pejuang.

Dalam lumpur kau kan berkubang, 
Bersama rakan, terkadang sorang, 
Daun kau cari mengganti benang, 
Menjamu siput atau belukang, 
Berlari kau sampai terlentang, 
Sampai kulit kakimu jatuh lekang,
Mana yang lambat akan ku tendang, 
Darah kan mengalir, air mata kan bergenang. 

Jika kau tahan semua ku hadang, 
Ku sematkan beret hijau berlambang pak belang, 
Sekarang duduk kita sama rendang, 
Berdiri kita sama jinjang,
Bersama daulat negara kita julang. 

Semboyan keramat bergema memenuhi ruang, 
Kita kan mengibar jalur gemilang, 
Meninggalkan keluarga tercinta di belakang, 
Ramai yang mati, ramai yang hilang, 
Pilih yang mana, kita tak didendang,
Tiada pangkat, tiada bintang.

Jika kau masih sanggup bertandang, 
Ku jemput semua berdarah hulubalang,
Dari tanah padi berjelapang, 
Hingga ke negeri bawah bayu saujana memandang,
Namun jika jiwamu bimbang, 
Bergolak hatimu menahan walang,
Di sini bukan tempat sebarang, 
Jika ragu-ragu, sila pulang. 

FB Rejimen Gerak Khas
19 Ramadan 1434 H

No comments:

Post a Comment

!-- feed links -->